Tuesday, June 8, 2010

DUNIA BLOG DAN DIA

Dia Ilham Kasturi telah biasa menjelajah dunia blog. Lama sebelum menteri2 dan pelbagai institusi mencanang penggunaan wadah berpengaruh yang menimbulkan kegerunan sesetengah pihak. Dia biasa menjelajah dari satu blog ke blog yang lain. Ada yang dia terpaut dan kekal sebagai follower yang setia, tetapi hanya dalam diam. Kadang-kadang diberi komentar sepatah dua. Ada yang terbiar di bookmark, dan dijenguk sekali sekala. Dia seorang introvert yang suka menelaah pengalaman orang lain.. Mengamati kisah-kisah dan ujian hidup yang dilalui oleh blogger amat menginsafkan dirinya. Ada yang sedang bertarung dengan kanser, ada yang mengkisahkan tentang kebahagiaan keluarga, ada yang menceritakan tentang kekosongan yang dilalui justeru kematian suami di usia muda, ada yang memperihalkan tentang hari2 yang dilalui sebagai ibu tunggal yang nekad memberi yang terbaik untuk anak-anak..

Kadang-kadang dia beralih dari coretan-coretan personal, meneliti analisis bloggers tentang isu2 negara, sosial, ekonomi dan politik. Atau blog-blog agama yang banyak menenangkan jiwa. Di celah-celah kebosanan, dia menjenguk juga blog-blog e-novel oleh penulis-penulis lama dan baru. Tapi kadang-kadang rasa kecewa bertandang apabila dalam kehangatan mengikut jalan cerita, tiba-tiba episod terhenti justeru novel mereka mendapat perhatian penerbit. Tumpang gembira untuk mereka. Paling seronok mengikuti blog-blog resipi atau tempat makan best-best. Oleh kerana dia tidak pandai memasak, blog-blog ini menjadi rujukannya apabila timbul keinginan untuk berkreasi di dapur yang jarang berasap.

Dalam diam hatinya terusik untuk turut berblog. Tetapi dia tidak bijak mengukir kata. Dia tidak pandai berkongsi pengalaman. Pun begitu, semakin hari hatinya diterjah untuk cuba berblog. Dia cuba menulis walaupun tidak arif. Sampai ke baris ini, dia masih tidak tahu apa konsep blognya. Alang-alang tidak tahu, biarkan sahaja blog ini menjadi medan penulisan bebas.. Menulis apa sahaja yang terlintas di minda terbuku di kalbu.

Dia bukan sasterawan yang boleh menjadikan blog medan e-novel mereka yang kemudiannya mendapat perhatian penerbit. Dia juga bukan penganalisis politik mahupun ekonomi untuk berbicara tentang isu panas negara. Dia cuma insan biasa yang baru bertatih untuk berekspresi menerusi blog.

No comments:

Post a Comment